Monday, 8 September 2014

Sejarah ASEAN

Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) mula dibentuk dengan penubuhan sebuah pertubuhan yang dikenali sebagai Persatuan Asia Tenggara (Association of Southeast Asia atau ASA) yang dianggotai oleh Filipina, Malaysia dan Thailand pada tahun 1961. ASA merupakan asas kepada pembentukan ASEAN sekarang.
Akibat daripada pembentukan Malaysia pada 16 September 1963, pertikaian berlaku khususnya antara Indonesia dan Filipina yang menganggap pembentukan Malaysia sebagai satu bentuk penjajahan baru. Ini kerana mereka mendakwa Sabah dan Sarawak merupakan sebahagian daripada negara mereka.
Oleh kerana pertikaian tersebut, munculnya slogan Ganyang Malaysia yang membawa kepada konfrontasi pada 1965-1966 oleh Indonesia. Selepas tamatnya konfrantasi tersebut, semua negara-negara Asia Tenggara bersepakat untuk mewujudkan persefahaman untuk memberi ruang kepada semua negara-negara terbabit bersatu dalam perkara yang melibatkan kepentingan bersama.
Maka, pada 8 Ogos 1967, lima pemimpin - Menteri Luar Indonesia, Filipina, Malaysia, Singapura dan Thailand (Adam Malik, Narciso R. Ramos, Tun Abdul Razak, S. Rajaratnam dan Thanat Khoman) - duduk bersama di dewan utama Jabatan Hal Ehwal Luar di Bangkok, Thailand dan menandatangani satu dokumen yang kini dikenali sebagai "Deklarasi ASEAN".[1]
Papua New Guinea diberikan status negara pemerhati pada 1976 dan pemerhati khas pada 1981.[2] Brunei menganggotai ASEAN pada 8 Januari 1984 iaitu seminggu selepas mencapai kemerdekaan.[3]
Hanya selepas 11 tahun kemudian barulah ASEAN menerima anggota baharu. Vietnam menjadi anggota yang ketujuh pada 28 Julai 1995.[4] Laos dan Myanmar menjadi anggota dua tahun kemudiannya, iaitu pada 23 Julai 1997.[5] Walaupun Kemboja sudah menyertai ASEAN bersama-sama Myanmar dan Laos, negara itu terpaksa menangguh disebabkan masalah politik dalam negara tersebut. Kemboja menyertai semula ASEAN pada 30 April 1999.[6]
Negara baharu Timor Leste, dahulunya dalam Indonesia, terpaksa berhempas pulas untuk mendapat status pemerhati dalam ASEAN. Namun, banyak negara dalam ASEAN tidak menyokong penglibatan Timor Leste pada akhir 1990-an atas rasa hormat kepada Indonesia. Myanmar, terutamanya, menentang pemberian status pemerhati kepada Timor Leste kerana sokongan Timor Leste terhadap perjuangan Aung San Suu Kyi. Sejak kemerdekaan Timor Leste pada Mei 2002 dan diterima sebagai negara pemerhati, ASEAN telah banyak membantu negara baru ini.[7][8]



 NEGARA NEGARA YANG TERLIBAT DALAM KOMUNITI ASEAN



Kini ASEAN dianggotai oleh hampir semua negara di Asia Tenggara kecuali Timor Leste dan Papua New Guinea. Negara-negara anggota adalah seperti berikut:





Negara Brunei Darussalam (Jawi: نڬارا بروني دارالسلام) ialah sebuah negara kecil yang kaya dengan sumber minyak dan terletak di sebelah utara pulau Borneo. Brunei di kelilingi Malaysia dengan dua bahagian Brunei dipisahkan di daratan oleh Malaysia. Nama Borneo diambil berdasarkan nama negara ini. Ini adalah disebabkan pada zaman dahulu, Brunei mempunyai pengaruh dan kuasa yang kuat di pulau Borneo.
Para pengkaji sejarah telah mempercayai bahawa terdapatnya sebuah kerajaan lain sebelum tertubuhnya Kesultanan Brunei kini, yang digelar orang Cina sebagai Po-ni. Catatan orang Cina dan orang Arab menunjukkan bahawa kerajaan perdagangan kuno ini wujud di muara Sungai Brunei seawal abad ke-7 atau ke-8. Kerajaan awal ini pernah ditakluk empayar Srivijaya yang berpusat di Sumatra pada awal abad ke-sembilan Masihi dan seterusnya menguasai Borneo utara dan gugusan kepulauan Filipina. Kerajaan ini juga pernah dijajah Empayar Majapahit yang berpusat di pulau Jawa tetapi berjaya membebaskan dirinya dan kembali sebagai sebuah negeri yang penting.
Brunei merupakan negara kedua tertinggi bagi Indeks Pembangunan Manusia (HDI) dalam kalangan negara Asia Tenggara selepas Singapura dan dikelaskan sebagai negara maju. Menurut Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Brunei berada di tempat ke-4 bagi keluaran dalam negara kasar dunia per kapita dalam pariti kuasa beli.


 







Republik Filipina merupakan sebuah negara kepulauan yang terletak di bahagian barat Lautan Pasifik dan terletak kira-kira 100 kilometer dari tanah besar Asia. Negara ini mempunyai pengaruh keagaaman, kebudayaan dan cara hidup yang kuat dari negara Sepanyol dan Amerika Syarikat memandangkan telah dijajah selama hampir empat abad oleh kuasa besar tersebut. Filipina adalah salah satu dari hanya dua negara (satu lagi adalah Timor Leste) sahaja yang penduduknya majoriti menganuti agama Kristian di benua Asia di mana agama Islam, Hindu atau Buddha lebih popular.
Dahulu, Filipina merupakan antara negara paling maju di rantau Asia Tenggara, namun sekarang telah ketinggalan di belakang apabila pertumbuhan ekonominya semakin merosot dan masalah penyelewengan yang berleluasa. Hari ini Filipina menikmati pertumbuhan ekonomi yang sederhana disebabkan peyumbangan tenaga kerja yang banyak di luar negara, pertambahan pelaburan ke atas industri teknologi maklumat, dan tenaga kerja yang murah.
Masalah utama yang dihadapi Filipina kini ialah tuntutan puak pemisah Islam di pulau Mindanao di bahagian selatan untuk berpisah dari Filipina, ancaman puak komunis di utara, dan kerosakan habitat dan alam sekitar disebabkan oleh pencemaran dan pembangunan yang tidak dirancang.








Republik Indonesia ialah sebuah negara kepulauan yang juga disebut sebagai Nusantara (Kepulauan Antara)[1] yang terletak di antara tanah besar Asia Tenggara dan Australia dan antara Lautan Hindi dan Lautan Pasifik. Indonesia bersempadankan Malaysia di Pulau Borneo, Papua New Guinea di Pulau Papua, dan Timor Leste di Pulau Timor. Negara jiran lain termasuklah Singapura, Filipina, Australia dan wilayah India Kepulauan Andaman dan Nicobar. Ibu negara dan pusat pentadbiran Indonesia ialah Jakarta.
Dengan 17,508 pulau, Indonesia merupakan negara kepulauan terbesar di dunia. Dengan jumlah penduduk seramai 222 juta orang pada 2006[2], ia merupakan negara keempat paling banyak penduduk dan negara berpenduduk Muslim yang terbesar di dunia, walaupun secara rasminya ia bukanlah sebuah negara Islam. Indonesia merupakan sebuah republik, dengan parlimen dan presiden yang dipilih secara langsung.
 








Kerajaan Kemboja merupakan sebuah negara di Asia Tenggara dan bersempadankan Thailand di barat, Laos di timur, Vietnam di timur dan Teluk Siam di selatan.
Negara yang mempunyai jumlah penduduk 13 juta ini beribu negara di Phnom Penh. Kemboja merupakan negara pengganti Kerajaan Khmer yang mengalami zaman kegemilangannya pada adab- ke-11 hingga abad ke-14. Pada zaman keemasannya, Khmer berjaya menguasai seluruh Semenanjung Indochina.
Agama utama yang diamalkan di Kemboja ialah agama Buddha Thevarada. Agama lain termasuklah Islam (penduduk Cham) serta animisme di kalangan kaum peribumi.
Antara badan air yang terkenal di Kemboja ialah Sungai Mekong dan Tasik Tonlé Sap yang merupakan sumber makanan serta pendapatan yang penting bagi penduduknya.
Pada 2005, simpanan minyak petroleum dan gas asli telah ditemui di bawah laut Kemboja. Perlombongan minyak yang bakal bermula pada 2009 dijangka akan menghidupkan semula ekonomi Kemboja yang banyak bergantung kepada sektor pelancongan.












Republik Demokratik Rakyat Lao (Bahasa Lao: Sāthālanalat Pasāthipatai Pasāson Lāo) ialah satu satunya negara tanpa pantai di Asia Tenggara dan bersempadankan Myanmar dan China di barat laut, Vietnam di timur, Kemboja di selatan, dan Thailand di barat.
Selepas kemerdekaan daripada Perancis pada 1949, Laos menghadapi perang saudara yang berakhir pada 1975 apabila kumpulan komunis Pathet Lao merampas kuasa.
Laos merupakan antara negara yang mempunyai kebebasan ekonomi dan politik paling rendah di dunia.[1]
Sejarah Laos boleh dihubungkan dengan kerajaan Lan Xang (Tanah Seribu Gajah), sebuah kerajaan Asia Tenggara yang muncul antara abad ke-14 sehingga abad ke-18.











Malaysia (Tulisan Jawi: مليسيا) ialah sebuah negara raja berperlembagaan persekutuan di Asia Tenggara yang terdiri daripada tiga belas negeri dan tiga wilayah persekutuan, yang menduduki bumi berkeluasan 329,847 kilometer persegi (127,350 batu²).[13][14] Malaysia terbahagi kepada dua kawasan yang mengapit Laut China Selatan, iaitu Semenanjung Malaysia dan Borneo Malaysia (juga Malaysia Barat dan Timur).[13] Malaysia berkongsi sempadan darat dengan Thailand, Indonesia, dan Brunei[13] dan juga sempadan laut dengan Singapura dan Filipina.[15] Ibu negara Malaysia ialah Kuala Lumpur, manakala Putrajaya merupakan pusat kerajaan persekutuan. Pada tahun 2009, Malaysia diduduki 28 juta orang.[7]
Malaysia berakar-umbikan Kerajaan-Kerajaan Melayu yang wujud di wilayahnya dan menjadi taklukan Empayar British sejak abad ke-18. Wilayah British pertama di sini dikenali sebagai Negeri-Negeri Selat. Semenanjung Malaysia yang ketika itu dikenali sebagai Tanah Melayu atau Malaya, mula-mula disatukan di bawah komanwel pada tahun 1946, sebelum menjadi Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1948. Pada tahun 1963, Tanah Melayu bersatu dengan negeri Sabah, Sarawak, dan Singapura. Pada tahun 1965, Singapura keluar dari persekutuan untuk menjadi negara kota yang bebas. Semenjak itu, Malaysia menikmati antara ekonomi yang terbaik di Asia, dengan purata pertumbuhan keluaran dalam negara kasarnya (KDNK) kira-kira 6.5% selama 50 tahun pertama kemerdekaannya.[16] Ekonomi negara yang selama ini dijana oleh sumber alamnya kini juga berkembang dalam sektor-sektor sains, pelancongan, perdagangan dan perubatan.
Ketua negara Malaysia ialah Yang di-Pertuan Agong, iaitu raja elektif yang terpilih dari kalangan sembilan raja negeri Melayu. Ketua kerajaannya pula ialah Perdana Menteri.[17][18] Sistem kerajaan Malaysia banyak berdasarkan sistem parlimen Westminster[19], dan sistem perundangannya juga berasaskan undang-undang am Inggeris.
Malaysia terletak berdekatan dengan khatulistiwa dan beriklim tropika,[13] serta mempunyai kepelbagaian flora dan fauna, sehingga menjadi salah satu daripada 17 negara megadiversiti.[20] Di Malaysia terletaknya Tanjung Piai, titik paling selatan di seluruh tanah besar Eurasia. Malaysia ialah sebuah negara perintis Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara dan Pertubuhan Persidangan Islam, dan juga anggota Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik, Negara-Negara Komanwel, dan Pergerakan Negara-Negara Berkecuali.


 










Myanmar atau dahulunya dikenali sebagai Burma ialah sebuah negara di Asia Tenggara. Negara ini mengubah namanya kepada Myanmar pada 1989 dan nama barunya ini diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Walaubagaimanapun, beberapa negara seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom tidak menerima perubahan nama ini kerana kedua-dua negara ini tidak mengiktiraf kerajaan junta yang memerintah Myanmar sekarang. Hari ini, ramai orang menggunakan nama "Myanmar" walaupun sesetengahnya tidak bersetuju dengan pemerintahan junta di Myanmar.
Myanmar merdeka dari United Kingdom pada 4 Januari 1948 sebagai "Kesatuan Burma" . Kemudian bertukar kepada Republik Sosialis Kesatuan Burma pada 4 Januari 1974. Sekali lagi bertukar kepada Kesatuan Burma pada 23 September 1988. Pada 18 Jun 1989, Majlis Pelembagaan menukar nama kepada "Kesatuan Myanmar".
Myanmar bersempadan dengan Republik Rakyat China di utara, Laos di timur, Thailand di tenggara, Laut Andaman di selatan serta Teluk Bengal di barat daya. Satu per tiga tanah Myanmar atau 1,930 km di kelilingi oleh pesisiran pantai.
Sistem politik di Myanmar dikawal oleh Majlis Pembangunan dan Keamanan Negara yang menguasai kerajaan sejak 1992, dan dipimpin oleh kerajaan junta tentera di bawah Jeneral Than Shwe. Tentera Burma telah berjaya menguasai pemerintahan semenjak Jeneral Ne Win memimpin rampasan kuasa pada 1962 dan menumpaskan kerajaan awam pimpinan U Nu. Sepanjang pemerintahan Empayar British sehingga 1948, Burma terus berhadapan dengan masalah ketegangan kaum. Kebudayaan Myanmar, seperti jirannya berasaskan kepercayaan Buddha Theravada dengan ubahsuai dan tambahan elemen tempatan. Pemerintahan tentera berakhir pada tahun 2011, lalu diganti oleh kerajaan awam.









Republik Singapura ialah sebuah negara pulau yang terletak di tepi hujung selatan Semenanjung Melayu, 137 kilometer (85 bt) di utara garisan Khatulistiwa, di Asia Tenggara. Ia terpisah dari Malaysia dengan Selat Johor di utara, dan Kepulauan Riau Indonesia dengan Selat Singapura di selatan. Singapura ialah pusat kewangan keempat terunggul[16] dan sebuah bandaraya global metropolitan yang memainkan peranan penting dalam perdagangan dan kewangan antarabangsa. Pelabuhan Singapura ialah salah sebuah daripada lima pelabuhan tersibuk dunia.[17]
Singapura mencatat sejarah penghijrahan yang lama sekali, yang menyumbang kepada hampir 5 juta penduduk berbilang budaya yang terdiri daripada kaum Cina, Melayu, India, orang Asia lain, dan ras Caucasus.[18] 42% penduduk Singapura ialah orang asing yang bekerja atau belajar di sini. 50% pekerjaan perkhidmatan diisi oleh pekerja asing.[19][20] Singapura merupakan negara yang kedua paling padat dengan penduduk di dunia, di belakang Monaco.[21] A.T. Kearney mengungkit nama Singapura sebagai negara paling global di dunia dalam Indeks Globalisasi.[22]
Sebelum merdeka pada tahun 1965, Singapura sudah menjadi pelabuhan yang bersemangat dengan KDNK per kapita sebanyak $511, iaitu ketiga tertinggi di Asia Timur ketika itu.[23] Selepas merdeka, pelaburan langsung asing dan dorongan kerajaan ke arah pengindustrian berasaskan rancangan bekas Timbalan Perdana Menteri Dr. Goh Keng Swee membentuk sebuah ekonomi yang baru.[24]
Economist Intelligence Unit meletakkan Singapura sebagai negara yang mempunyai kualiti hidup terbaik di Asia dan kesebelas terbaik di seluruh dunia dalam senarai "Quality-Of-Life Index".[25] Singapura memiliki rizab pertukaran asing kesembilan terbesar di dunia.[26][27] Negara ini juga dilengkapi angkatan tentera yang canggih dan lengkap dari segi teknologinya













Kerajaan Negara Thai atau nama rasminya Prathēt Thai ialah sebuah negara di Asia Tenggara yang bersempadankan Laos dan Kemboja di timur, Malaysia dan Teluk Siam di selatan, dan Myanmar dan Laut Andaman di barat. Negara Thai dahulunya dikenali sebagai Siam sehinggalah 11 Mei 1949. Perkataan Thai (ไทย) bermaksud "bebas" dalam bahasa Thai. Nama Siam masih digunakan di kalangan orang Thai terutama sekali minoriti Cina.
Thailand merupakan negara yang ke-51 terbesar di dunia di dalam bentuk jumlah keluasan, anggarannya kira-kira sama besar dengan negara Sepanyol, dengan anggaran keluarsan 513,000 km2 (198,000 batu per.), dan ke-20 negara di dunia paling banyak penduduk, dengan anggaran 63 juta orang. Lebih kurang 75% daripada populasi adalah dari kaum Thai, 14% daripadany adalah berketurunan Cina, dan 3% daripadanya adalah dari orang Melayu Thai;[1] dan selebihnya adalah daripada kumpulan minoriti termasuklah orang Mon, orang Khmer dan pelbagai kaum orang asli . Bahasa rasmi negara ini adalah bahasa Thai. Leih kurang 95% daripada populasi adalah orang-orang beragama Buddha.











Vietnam /ˌvjetˈnɶm, ˌvi:et-, -ˈna:m/ (Bahasa Vietnam: Việt Nam) , secara rasminya Republik Sosialis Vietnam (Bahasa Vietnam: Cộng hòa Xã hội Chủ nghĩa Việt Nam), ialah negara paling timur di semenanjung Indochina di Asia Tenggara, bersempadan dengan China di utara, Laos di barat laut, dan Kemboja di barat daya. Di pantai timur negara ini adalah Laut China Selatan. Dengan bilangan penduduk mencecah 87 juta, Vietnam ialah negara ke-13 teramai penduduknya di dunia. Negara ini juga tersenarai di kalangan "sebelas ekonomi yang seterusnya"; menurut perangkaan kerajaan, kadar kenaikan KDNK mencatat 8.17% pada tahun 2006, iaitu kadar pertumbuhan KDNK kedua terpantas di kalangan negara-negara Asia Timur dan yang terpantas di Asia Tenggara.
Selama beribu-ribu tahun, Vietnam sebagai sebuah negara pernah diberi pelbagai nama: Văn Lang ketika Dinasti Hùng Vương, Âu Lạc ketika Dinasti An Dương Vương, Vạn Xuân ketika Dinasti Lý Awal, Đại Cồ Việt ketika Dinasti Đinh dan Dinasti Lê Awal. Sejak tahun 1054, Vietnam digelar Đại Việt (Viet Besar). ketika Dinasti Hồ, Vietnam memakai nama Đại Ngu tetapi kemudiannya beralih ke Đại Việt semula. Pada tahun 1804, Raja Gia Long merancang untuk menggunakan nama Nam Việt untuk Vietnam tetapi Dinasti Qing di China tidak setuju, lalu menukarnya kpeada Việt Nam. Dari tahun 1839 hingga 1945, Raja Minh Mạng menamakan semula Việt Nam menjadi Đại Nam.
Nama Việt Nam pernah dipakai untuk memanggil negara ini sebelum dijadikan nama rasmi dalam "Dư địa chí" oleh Nguyễn Trãi pada tahun 1435 dan mungkin juga tahun-tahun sebelumnya. "Việt" ialah naam bagi kelompok etnik terbesar di Vietnam, iaitu Kinh (người Kinh), manakala "Nam" bermaksud Selatan yang menekankan kedaulatan Vietnam's daripada negara China (yang biasanya bergelar "negara Utara" oleh orang Vietnam).